My photo
Stories for my three heroes.

Wednesday, March 09, 2011

7 TAHUN

Setahun lagi sudah berlalu bermaksud kini aku sudah menulis selama 7 tahun. Aku masih mencuba menulis secara tetap tentang anak-anak dan kehidupan mereka. Dari dahulu sewaktu mula menulis hingga sekarang, aku tetap seronok mengikuti telatah mereka dan cuba mencatitkan diruang ini supaya aku tidak terlupa di masa yang lain. Aku bukan sahaja mencatit gelagat, tutur kata, pemikiran dan sikap yang semakin berubah apabila mereka semakin dewasa tetapi juga yang masih kekal walau apa jua yang berubah di sekitaran mereka.

Abang sudah aku anggap anak remaja yang semakin dewasa. Pemikiran dan tingkah lakunya semakin matang. Pertuturannya semakin dewasa dan melihat Abang aku merasa seperti seorang petani yang tidak bergantung kepada hujan untuk menyirami ladang yang sedang tumbuh. Setahun yang lalu aku dan Ibu khuatir yang Abang sedang melalui masa yang sukar untuk mengadaptasi  dengan  pendewasaan dirinya. Setiap pagi atau petang, aku dan Ibu tidak melepas peluang untuk bertukar pandangan dan berusaha memahami perubahan pada diri Abang, anak sulong kami. Alhamdulilah, Abang tidak pergi jauh, dan Abang yang kami kenali menunjuk sosoknya kembali kepada kami. Kami bersyukur  Abang  dapat menempuh sungai remaja yang deras dan masih menghulur tangan kepada kami yang menunggu di tebing seberang. Aku tambah bersyukur yang Abang nampak sedia bersama kami menghulur tangan kalau ada yang akan mengikut jejaknya di masa hadapan.

Adik pula semakin membesar dan akan mencecah jiwa remaja dalam sedikit hari lagi. Adik sudah melebihi ketinggian aku. Ibu kata suaranya sudah sekuat aku kalau dia menjerit atau memanggil. Anak bujang kedua aku ini, walau lebih manja perwatakannya namun sudah mula menunjukan personalitinya sendiri. Kebelakang ini aktif sudah mula aktif bersukan. Basketball, badminton, berenang, lumba lari.. semua ingin dicubanya. Walaupun tidak secekap Abang, dia masih terus giat melibatkan diri. Aku juga lihat dia sudah mula pandai menjeling-jeling kepada anak gadis orang lain. Mungkin yang ini cabaran dari Adik untuk aku dan Ibu. Oh, ya.. Adik sudah mula menulis pula(tapi masih tidak suka membaca). Dalam sebulan dua ini, aku lihat dia rajin menulis di dalam buku serupa diari. Sesekali dia bertanya aku benda benda teknikal, jenis pesawat pejuang, senjata api dan sebagainya. Minat dia kepada benda-benda ajaib dan misteri masih ada. Jadi aku takut untuk membaca apa yang dia tulis. Alhamdulilah, dia tidak benarkan kami membaca apa yang dia tulis tersebut.

Akhir sekali, Baby Faim akan berusi tujuh tahun pada tahun ini dalam beberapa bulan lagi. Seusia penulisan aku disini. Walaupun sudah besar, kami masih meyayangi dia sebagai Baby yang kecil, yang sentiasa aku peluk dan cium. Sehinggalah dia melarang aku, malah memarahi aku kalau aku cuba begitu kepada dia. Tetapi kemanjaannya masih ada. Kuat menonton TV tapi konsisten dengan persekolahan. Bila waktu petang atau sedikit senja, dia akan datang kepada Ibu minta masa untuk bersama membaca buku. Dan dia sudah mula boleh membaca ayat-ayat mudah pada buku kanak-kanak yang dibawa dari perpustakaan sekolah. Aku mengucap syukur.

Jadi, setahun lagi berlalu dalam kehidupan kami. Tujuh tahun sudah aku menulis. Banyak yang aku syukuri dan berterima kasih. Dan aku tunjukkan kesyukuran aku kepada anak-anak dengan aku menyebutnya satu persatu dalam doa bila ketika kami berkesempatan berMaghrib bersama. Selagi Allah masih memberi berpeluang ini.