My photo
Stories for my three heroes.

Wednesday, October 24, 2007

BAK'S WISDOM

'Ilmu Hisab, Sains, Bahasa Malaysia, Bahasa orang putih. Kau belajar empat subjek tu. Itu aja yang penting. Kau ingat apa aku cakap', Bak berkata dengan tegas dan yakin. Aku terkebil-kebil mendengar cakap Bak. Aku sedang bersedia untuk menghadapi peperiksaan. 'Kalau kau dengar cakap aku ni, kau belajar betul-betul, kau jadik pandai. Hidup kau senang. Anak bini kau senang nanti. Mak, Bak dah takda masa tu. Tau?', Bak menyambung lagi syarahan-syarahan dia. Aku mengganguk-angguk kepala. Puan Hasnah bagi aku 100 soalan Ilmu Hisab setiap hari sebagai kerja rumah. Tapi Bak jarang menolong aku membuat kerja sekolah.

Enam tahun kemudian, waktu aku sedang bergelut lagi, Bak masih dengan nasihat yang sama. Dan Bak masih tidak membantu aku menyiapkan kerja sekolah. Namun aku tetap mendengar. Tapi masa tu aku dah faham bahawa Bak hanya sekolah melayu setahun. Bak tak berapa tahu cakap omputih. Setakat Yes dan No sahaja. Waktu tu subjek sains aja sudah ada tiga, fizik, kimia dan biologi. Matematik dan Geografi ada dua subjek berbeza. Bak cuma amalkan Matematik pada hujung bulan bila dia nak berbelanja di Kedai Apek di Batu Lima. Kadang pon aku dan Adik-adik yang tolong hitungkan.

'Adik, this is not right. You always forgot. Past tense. Put '-ed' here and plural here put 's', ok. And underline all your key words. You will lose half a point for all that silly mistakes', aku tegur ke Adik. Dah berkali aku ingatkan. Adik masih Adik yang suka bermain walaupun waktu belajar. ' I told you many times, focus on your work so you will be good at school and can go to good College. Then, you can be a better person than me, ok!,' aku tegaskan kepada Adik. Adik hanya mengganguk seperti aku dahulu.' If you study hard, you may be able to study oversea!', tambah aku lagi.

Waktu aku nak keluar negeri untuk sambung belajar dulu, Bak ada tambah satu nasehat lagi. Nasehat yang aku belum pernah dengar. Sebelum aku beredar dengan kawan-kawan masuk ke dalam terminal di Lapangan Terbang Subang, Bak memegang bahu aku dan bercakap,'Nanti bila kau dah balik, dah jadi orang senang. Kau jangan lupa tolong orang-orang susah. Kau ingat apa aku cakap'. Muka Bak masih bersungguh-sungguh macam 10 tahun dulu.

Tuesday, October 16, 2007


HAPPY THIRD BIRTHDAY - MUHAMMAD ALFAIM
15 OCTOBER 2007

* pictured 2 years ago

Sunday, October 14, 2007

LONG DISTANCE LEBARAN

Aku diberitahu bahawa ia adalah masjid terbesar di daerah di sini. Tapi aku dinasihatkan untuk membawa sejadah sendiri kerana kemungkinan yang boleh berlaku. Aku dengan Adik tiba sejurus sebelum solat bermula. Kereta-kereta pengunjung lain sudah bersusun di tepi jalan, di luar kawasan masjid. Sesampai di masjid, aku nampak ramai manusia sudah membentang sejadah di luar perkarangan.

'Oh oh, this is not good', aku kata kepada Adik. Adik hanya mengganguk. Walaupun cuaca sedikit dingin, Adik tidak mahu berpakaian tebal sebaliknya hanya berbaju Melayu. Kalau terpaksa bersolat di luar, aku rasa Adik akan mengigil kesejukan. Kami berpusing ke belakang masjid dan mendapati kemah yang dipasang juga penuh dengan manusia. Ruang badmintonnya juga telah penuh diisi oleh kaum muslimah.

Di pintu masuk belakang, aku ternampak ada ruang bersebelahan dengan tempat letak sepatu. Aku membentang sejadah untuk aku dan untuk Adik. Bersebelahan dengan sepatu-sepatu orang. Tertunai juga hajat aku pagi ini. Pulang ke rumah, aku terus meminta makanan yang Ibu siapkan. Tapi Ibu mengingatkan aku akan tradisi biasa. Lalu kami semua bersalam-salaman dahulu. Adik kelihatan gembira sekali.

Waktu petang, kami mula merasa berbeza. Aku pasang Skype dan bercakap dengan Abang. Ibu, Adik dan Baby Faim pon ikut bercakap sekali. Abang kelihatan muram sedikit. Adik muram banyak. Abang beritahu bahawa segalanya dah disiap dan dia akan bertolak dalam masa sekejap lagi. Aku dan Ibu tidak berhenti menasihatkan dia supaya menjaga diri, tingkah laku dan keselamatan. Aku ingatkan bahawa dua minggu adalah tempoh yang lama dan dia perlu gunakan peluang ini sebaik-baiknya untuk menimba pengalaman dan pengetahuan, bukan sekadar bersuka-suka sahaja. Dia nampak faham. Akhir sekali kami doakan keselamatan dia.

Malam tadi semasa menonton TV, aku rasa suasana ruang tamu sepi dan muram. Aku pon terdiam sama. Tiba-tiba Adik mula tersedu-sedu dan berbaring ke aku menyebut nama Abang dan beberapa perkataan lain yang aku tak berapa faham. Tapi dengan melihat wajah dia aja aku dapat mengerti. Aku usap kepala dia hingga tertidur.

UPDATE : 15 OCTOBER 2007 - MONDAY

Ibu cuba menelepon Abang di Hotel di Florida. Amazingly, Ibu dapat dihubungkan dengan bilik Abang dengan mudahnya. Puas Ibu bercakap, baru Ibu berikan gagang telefon kepada aku. Aku bertanya perkara-perkara biasa seperti kesehatan, jet lag, teman sebilik, program selanjutnya dan berbagai lain. Abang kedengaran seperti biasa dan seperti kepenatan. Dia beritahu bahawa pihak kastam Amerika Syarikat mengeledah beg dia dan tetapi tidak mengeledah kawan-kawan yang lain. Aku selamba sahaja menjawab, 'Well, maybe they think you are a terrorist'. Abang hanya terdiam. Aku rasa sedikit sebanyak dia mula merasa realiti kehidupan yang sebenarnya. Aku janji tidak akan terlalu menghubungi Abang tetapi meminta dia menumpukan kepada aspek pembelajaran lawatan dia. Apatah lagi dengan euphoria Angkasawan Pertama Malaysia masih hangat di serata dunia.

www.kisahdengananak.blogspot.com/2007_05_15_archives.html

Tuesday, October 02, 2007

LIVE MUSIC

Aku sedang menaip sambil mendengar lagu Ungu di Youtube. Tetiba satu rentetan bunyi aneh kedengaran di belakang.

Teng! Teng! Tong! Tong! Ting! Ting!

Segera aku berpaling ke belakang. Adik sedang memegang satu instrumen musikal, biola. Tangan dia memetik-metik tali biola tersebut. Patut bunyinya pon semacam.

'I thought you are going to do your homework?', aku tanya ingin tahu.
'This is my homework, Ayah. I have to practise', jawab Adik sambil terus memetik-metik lagi tali violin dia.
'Well, shouldn't you be using that stick to rub it on the strings or something', tanya aku lagi sambil menunjuk ke batang pengesek biola dengan dagu aku.
'Today is my first day la Ayah. I have to learn the notes this way first', jawab Adik tanpa langsung memberhentikan rentak.

'Ok la Adik. You go ahead', jawab aku sambil menyambung mendengar kekasih gelapku di Youtube. Tapi kali ini dengan lebih sukar sedikit.