Beberapa malam yang lalu, Adik terjaga malam, menangis-nangis dan meracau-racau. Aku dikejutkan oleh Ibu dan disuruh melihat Adik yang masih menangis di bilik Nenek. Bergegas aku ambil dan dukung Adik masuk ke bilik tidur dia dan membaring sambil merasa dahinya. Memang panas.
Nenek datang membawa ubat dan menyuapkan Adik. Aku mengesat-ngesat badan Adik dengan tuala basah untuk menurunkan suhu. Sambil mengesat, aku menasihat Adik, ' You must bathe on time, eat according to schedule and don't play outside during Maghrib'. Adik mengangguk kepala seperti faham walaupun aku lihat pandangan dia tak terfokus. Aku baring sebelah Adik mengesat sana-sini sambil sesekali meletak telapak tangan di dahi Adik hingga aku terlena.
Aku terjaga. Terasa ada benda sejuk melekat di dahi aku dan muka aku. Aku buka mata dan melihat muka Bak tersenyum sambil memegang hirisan timun ditangan. Dia menghiris timun tersebut dan meletak di muka ku untuk menurunkan panas badanku. Aku berasa tenang dan menutup kembali mata.
Aku terjaga. Aku menoleh kepada Adik yang sedang lenyak tidor. Aku rasa dahi dia dan dapati panasnya sudah berkurang. Aku pandang muka jam dan semula kepada Adik dalam kegelapan malam. Aku harap dia tidur dengan tenang. Setenang aku semasa sakit di waktu kecil dirawat oleh Bak.
Aku bangun menuju ke bilik air. Aku solat Isya.
Instagram
6 years ago
No comments:
Post a Comment