'Mak, apa lauk ni. Tak sedap langsung'
'Kalau kau tanak makan, jangan makan. Biarkan situ, ramai lagi orang lain yang nak makan'
Aku teringat dialog ini dan terus tersedar dari lamunan. Dialog di atas sudah lama. Tapi entah bagaimana ianya seakan menjadi falsafah hidup aku. Dalam setiap aspek harian aku, selalu aku teringat dialog tu dan merasakan ianya kena kepada hampir semua keadaan dan dilema. Selalu bersyukur dengan apa yang kita ada. Itulah yang aku pelajari. Dan itu yang akan aku pegang. Senantiasa.
Sekejapan angin meniup lembut membuat aku berasa sangat segar dan tenteram. Pohon berdahan melebar menutup aku dari cahaya matahari petang. Aku berseorangan. Tenteram di bawah lindungan. Di bawah naungan.
Aku melamun balik.
Aku juga masih ingat saat akhir itu. Aku kepenatan setelah selesai seminggu menginap dihotel bertugas melayan karenah petinggi negara dan rombongan dia. Aku baru hendak melelap mata, bila Abang aku telefon meminta aku balik segera. Kemudian dia bertanya samada aku ingin memberi penghormatan terakhir atau boleh sahaja mereka teruskan. Aku fikir tentang perjalanan yang aku perlu tempoh dan berkata akan berkunjung keesokan harinya sahaja. Dan setelah menyeberang lautan, aku sampai keesokan harinya ditempat aku berdiri sekarang.
Angin bertiup lagi ke puncak Bukit Alif. Aku terfikir kembali kepada dialog di atas. Mungkin dialog-dialog sebegitu jugalah menjadi penyebab aku menulis. Semoga akan ada dialog-dialog aku yang diingat oleh pahlawan-pahlawan masa hadapan. Pahlawan yang perlu ku bimbing. Semoga aku dapat meninggalkan sesuatu. Lagipun, itu sahajalah yang aku ada untuk mereka.
Segera aku bacakan lagi fatihah dan kusiram air yang ku bawa. Aku hidup enjin kereta dan memandu terus. Aku akan datang lagi kata hatiku sambil aku mataku melirik cermin pandang belakang.
Instagram
6 years ago
No comments:
Post a Comment