My photo
Stories for my three heroes.

Tuesday, October 07, 2008

BERAYA 2 :

Masa aku kecik, lepas salam Mak dan Bak, kami tak akan dapat duit raya. Sebabnya kami akan pergi ‘collect’ kat rumah jiran. Masa kecik ini la part Hari Raya yang paling disukai. Sehari dua sebelum Raya selalunya kami dah pakat dah, siapa nak join grup siapa. Dan apa dia rancangan grup yang kami akan sertai itu. Samada akan beraya rumah-rumah jiran terdekat, sampai pinggir-pinggir kampung atau pon sampai kampung sebelah. Selalunya aku dan Syukur akan ikut grup yang ada budak besar sedikit sebab dia berani pergi lebih banyak rumah dah lebih jauh, walaupun kami tak kenal. Ada jugak kawan-kawan yang dah sekolah menengah masih buat collection. Tapi mereka akan pergi jauh sampai ke Larkin, Batu 4 Skudai untuk buat collection. Kalau dah besar panjang masih beraya dan collect kat kampung sure kena gelak dengan anak-anak dara kampung.

Dulu beraya sangat meriah. Kita akan tengok banyak kumpulan anak-anak yang berjalan keliling kampung mengucap salam ke setiap rumah. Kemudian mereka akan dijemput masuk dan makan sedikit kueh mueh sebelum mengumumkan yang kami akan beransur. Dan bermula la dialog seperti berikut :

‘Makcik.. kami nak balik dah.’
‘Eh .. nak balik? Ah.. nanti-nanti-nanti.Lina/Pah/Abang.. ambik bekas Mak tu sini’’
‘ he he he he’ ( Masa ni member tersengeh-sengeh )
‘Nah.. ni dari Makcik. Ikhlas. Eh .. kau ni anak Si Amid tu kan? Anak Senah ke? Adiknya Mamud tu ke? Kirim salam mereka ye?’
‘InsyaAllah.. Terima kasih Makcik. Kami balik dulu’

Begitulah lebih kurang dialognya. Turun aja dari tangga rumah, kami akan terus berbincang jumlah duit yang kami dapat sebelum mengatur strategi seterusnya ie rumah mana nak diserbu pulak.

Masa aku kecik selalunya 5 sen atau 10 sen tu kira biasala. Masa ni takda pon sampul-sampul duit dari bank warna hijau yang digunakan. Kadang sebab keluarga tu mewah sedikit dia bagi 20 sen. Ataupun kalau dia memang kenal betul dengan Mak Bapak kita, kita akan dapat siling lebih besar dari kawan-kawan lain. Masa tu kawan-kawan akan mula la mengusik, ‘ waaa anak menantu la katakan’... dan kami akan tergelak bersama-sama.

Kadang-kala pelan bertindak kumpulan akan boleh diubah atau dihijack oleh intelligence yang kami terima semasa beraya. Buat collection ni pon ada macam intelligence gathering juga. Kalau ada mana-mana rumah yang bagi jumlah luar biasa seperti lebih dari 10 sen, maka maklumat ini akan dikongsi bersama kumpulan-kumpulan lain. Dan kami akan mula la menderu ke rumah tersebut. Takut duit siling mereka habis dan mungkin akan terlepas dapat siling besar.

Kadang ada juga intelligence jahat. Bila satu kumpulan terkena dengan rumah yang mana tuan rumah suruh kami makan ketupat, rendang, kari sampai habis sebelum dibenarkan pulang, kita akan bagitau kumpulan lain yang tuan rumah tu beri duit siling besar. Apabila mereka meluru ke rumah tersebut, kami akan ketawa bersama-sama. Paling susah juga bila rumah tersebut juga ada orang tua yang suka bercerita. ‘Masa zaman Jepun dulu, Pakcik kena panjat pokok kelapa kau tau!’ .. Selalunya macam gini kami terpaksa tunggu sampai setengah jam sebelum dapat beredar. Rugi masa.

Sampai petang, kami akan beraya. Sampai poket kami gelembung dengan duit siling. Pangkal poket pon dah mula hitam berdaki sebab asyik diseluk untuk masukkan atau menyemak duit yanga da dalam poket sambil tersenyum riang. Dan, malam itu kami akan tersenyum puas melihat duit siling yang terkumpul. Kalau dapat lebih sepuluh ringgit tu, kira sudah bagus la. Esok, boleh berehat dirumah dan tunggu saudara-mara datang sambil tengok sarkas kat TV.

Bila aku fikir-fikir balik, memang nampak materialistik. Memang kadang tak patut la hari mulia seperti Hari Raya dihayati dengan perasaan siapa dapat dan siapa beri duit banyak. Tapi aku rasa tak ramai pon orang yang merungut. Semua gembira sebab itulah suasana Hari Raya. Melihat kanak-kanak dengan baju Melayu atau baju koboi baru, berjalan ke sana-sini cukup meriangkan dan memberi keceriaan kepada Hari tersebut. Tapi aku suka melihat dari aspek silaturahimnya. Dari kunjungan-kunjungan materialistik itu la, kita mengenal jiran tersebut, mengetahui keluarga yang tinggal sekampung dengan kita dan menyampai salam-menyalam. Menyambung silaturahim. Aku rasa mungkin itu yang kehilangan dalam masyarakat Melayu sekarang. Jiran tidak mengenal jiran. Bila tiba Hari Raya semua jiran sepi. Balik kampung atau bercuti ke Langkawi atau Terengganu. Atau Perth.

Memang masyarakat kita akan berubah mengikut masa dan zaman. Tak boleh kah kita simpan kekal benda-benda yang baik.

No comments:

Post a Comment