My photo
Stories for my three heroes.

Saturday, October 04, 2008

BERAYA 1 :

Sebaik sahaja aku balik dari solat Raya di mesjid pagi tadi, aku ditarik oleh ibu ke ruang TV. Ibu salam dan minta maaf etc. Aku pon sama. Kemudian kami sama-sama makan nasi himpit, rendang dan sayur lodeh masakan Ibu. Kami makan berdua dengan tenang.

Memang tabiat aku gitu. Masa aku kecik pon begitu. Aku akan makan juadah Hari Raya lepas Sembahyang dan khutbah Raya. Sebab selalu aku tunggu Bak habis mengemas masjid. Mak akan masak benda yang sama yang menjadi kegemaran kami. Ketupat, ayam masak merah dan jugak masak kari. Daging biasa la buat rendang. Dan aku suka sayur goreng kering letak suun, fucuk, tempe dan tahu goreng dipotong kecil.

Dulu kami, akan masak ketupat sendiri. Mak jarang buat banyak sangat, cukup untuk makan Raya Pertama dan untuk dikongsi dengan jiran-jiran. Kami selalu bertukar-tukar juadah Raya dengan jiran-jiran. Walaupun selalu masakannya sama, tetapi kadang dapat jugak masakan yang berbeza sebab jiran tu asal Pahang atau Kedah dan Kelantan. Kalau kita bagi jiran satu ikat ketupat, nanti dia bagi jugak satu ikat hak dia. Cuma bila kami bagi sedulang kepada Mak Gaik See dan juga Mak Nga Ngak rumah sebelah baru kami dapat benda lain iaitu limau, kuaci dan kacang goreng. Dan, memang jiran-jiran aku ni walaupun tionghua, kami panggil juga dengan nama Mak di depan.

Bila Abang aku dah dewasa, dia dengan geng-geng dia satu kampung akan kumpul duit dan masak ketupat sendiri. Depa cari kayu api, pinjam periuk besar (atau guna tin minyak tanah) dan mula merebus ketupat lepas sembahyang isya’. Sampul ketupat biasanya depa beli dari pasar. Selalunya jiran-jiran lain akan minta depa masak sekali untuk mereka dan bayar la sekadar harga kos kepada mereka. So, lama kelamaan ketupat yang kami tukar-tukar pagi Raya tu, sama aja, kalau keras keras la dia, kalau lembek lembik la semua.

Masa kecik, Hari Raya memang sangat meriah. Raya Pertama akan digunakan untuk beraya ke rumah jiran-jiran, ‘bersilaturahim’. Bagi kami kanak-kanak, kami akan hilang dari pagi sampai lah ke petang. Maghrib baru la jumpa balik keluarga di rumah. Raya pertama memang Mak dan Bak beri kami kebebasan. Raya Kedua biasanya, Mak atau Bak bawak kami ke rumah jiran-jiran. Kadang kami balik kampung rumah Nenek di Kampung Melayu atau Pontian pada hujung minggu. Bak selalunya pergi dulu rumah Mak dia di Pontian pada petang Raya pertama.

Masa aku kecik, baju melayu aku Mak yang buat. Dia akan jahit sendiri guna mesin Singer. Selalu Kak Limah tolong masuk benang dalam sekoci. Dan bila Mak menjahit kaki dia akan menghayun tempat pijak dibawak yang memutarkan roda dan mengerakkan jarum untuk menjahit. Macam Manisah dalam cerita Labu-Labi tu la. Oleh sebab kami di Selatan, maka baju Melayu kami jenis Teluk Belanga dengan seluar yang guna getah putih yang memeri tu. Dan baju kami adik beradik akan berwarna yang serupa. Selalu Mak akan beli kain dengan Pak Habib yang bawak kereta macam station wagon. Sambil jual kain, dia jual jugak batu akek untuk buat cincin.

Sekarang, aku jarang buat baju Melayu bila nak dekat raya. Aku selalu tempah baju dekat Bak Tailor di Jalan TAR lebih kurang 6 bulan sebelum Raya. Mengelakkan ‘rush’ dan jugak supaya harga dia tak mahal. Baju-baju anak lelaki aku pon aku beli dulu dan simpan. Pakai masa raya kemudian.

Petang tadi sebab takda cerita Sarkas kat TV yang selalu depa tunjuk masa Hari Raya, aku tidor sekejap. Bangun-bangun aja, aku tengok Abang, Adik dan Faim dah beratur depan aku. Ibu tersenyum-senyum. Anak-anak aku dah balik dari sekolah semuanya dan nak bersalam Raya. Satu persatu mereka bersalam dengan Aku dan Ibu. Kemudian Ibu sampaikan sampul duit raya dari Nenek dan Atuk. Abang, Adik dan Faim tersenyum.. Aku sendiri tak bagi sampul. Tahun ini aku tak amalkan. Mungkin tahun depan. Ibu tetap tersenyum riang. Ibu tak pernah minta sampul dari aku.

No comments:

Post a Comment