Aku bagitau tukang gunting yang aku mahu rambut Abang sedikit pendek, potong sebelah depan dan tepi di aras telinga. Kemudian aku duduk menunggu sambil pikiran aku mula melayang. Aku tak berapa cerewet kalau anak aku berambut panjang tetapi hendaklah kemas dan bersih. Malah, semasa di kolej pon aku meyimpan rambut antara terpanjang dahulu dan selalunya markah demerit disiplin yang aku dapat di KPP ialah sebab rambut panjang dan bukan atas sebab benda tak senonoh lain. Dan, Bak selalu marah bila aku cerita pasal ini masa cuti.
Sambil memerhati rambut Abang di potong, fikiran aku mengelamun terus. Bak memang tak suka kalau anak-anak dia berambut panjang. Dia amat senang sekali kalau rambut aku dengan Abang aku dipotong pendek serupa rambut rekrut tentera. Dulu, Tukang gunting akan datang ke rumah untuk menggunting rambut kami iaitu aku, Abang aku dan Bak sekali. Kemudian aku rasa, dia dah tak larat.
Aku selalu teringat satu insiden di mana Bak bawak aku dengan basikal ke Batu Lima untuk berbelanja bulan dan menggunting rambut aku yang sudah panjang. Basikal Bak besar dan aku membonceng di belakang. Sedang kami menuruni bukit yang tinggi, tiba-tiba Bak suruh pegang kuat sebab dua-dua brek basikal dah tak jalan. Aku yang berselipar, cuba untuk membantu memperlahankan basikal dengan menyentuh hujung selipar jepun aku ke jalan raya. Cemas juga aku dengan Bak, tapi akhirnya kami selamat juga sampai ke Batu Lima.Di pekan, Bak pergi menguruskan belanja bulan selepas Bak beritahu tukang gunting memotong pendek rambut aku. Sedang rambut aku digunting, aku perhati selipar aku dua-duanya dah tinggal dua pertiga. Hujungnya hilang semasa aku membrek sepanjang jalan tadi. Selesai gunting rambut, aku teman Bak minum teh di restoren cina. Aku tunjuk pada Bak nasib selipar aku sambil aku ketawa. Bak berkerut dan mengajak ke kedai cina lagi satu cadangnya untuk mengganti selipar yang baru. Selepas bertanya harga selipar dan membelek duit di tangan, muka Bak makin tambah berkerut.
Aku segera faham. Aku tarik tangan Bak ke kedai basikal. Aku minta dia ganti brek basikal dulu. Sebab, Bak pergi kerja naik basikal. Kalau dapat baiki basikal tu, Bak boleh la pergi kerja tanpa perlu jalan kaki. Melihat aku sungguh-sungguh mahu dia baiki basikal, bak bagi 20 sen kepada aku. Dia suruh aku balik naik teksi sapu. Dia akan kayuh balik sendiri lepas basikal selesai dibaiki. Di rumah, bila Bak dah sampai, aku periksa basikal Bak dan dapati brek belakang sahaja yang digantikan. Aku hanya berdiam.
Tiba-tiba Abang dah mula tercegat di depan muka aku. ' Ayah, I'm done. Eh, don't tell me you are thingking about your bike incident with Tok Bak again', kata Abang memandang muka aku.
' No la. Let's go. Ibu is waiting in the car ', kata aku berjalan sambil mengesat mata dengan belakang tangan aku. Sebenarnya aku memang selalu terkenang.
No comments:
Post a Comment