My photo
Stories for my three heroes.

Monday, March 09, 2009

TAHUN KE LIMA

5 tahun selalunya menjadi pengukur jangka masa sederhana. Di pertengahan tempoh lima tahun tersebut, biasanya ada kajian separuh penggal yang menjadi samada sesuatu perancangan itu perlu diterus atau diperbaiki lagi.

Dalam masa lima tahun, Abang telah mencapai usia anak belasan tahun. Abang mempunyai masa, waktu dan kecenderungan tersendiri. Abang semakin sibuk dengan kerja sekolah. Semakin sibuk dengan rakan dan taulan. Semakin hebat memikir keinginan dan kemahuan dirinya. Aku jarang dapat betul-betul meluang masa dengan Abang mengikut kuantiti dan kualiti yang aku inginkan. Sesekali aku dapat berpeluang, aku gunakan sepenuhnya. Aku suka kalau aku dapat duduk dibirai katilnya dan menemani dia menghabiskan tugasan fizik, kimia atau biologi, matematik dan kemanusian walaupun tanpa perlu mengeluarkan sepatah kata pon. Kadang aku cuba bertanya sesuatu. Dia akan cuba menjawab jua sepatah jua. Lebih dari itu akan berlaku kalau adakalanya sumbatan earphone Ipod di telinganya terlepas. Aku terima ini sebagai peningkatan usia dan kematangan diri Abang yang lahir 15 tahun dahulu.

Kadang aku beransur ke depan TV di bawah dan melayan cecehan berita yang aku pon tak berapa mengikut hujung pangkalnya. Dan, kadang Abang akan datang dan bercerita sedikit. Dan aku akan tersenyum lebar dan berkata-kata hingga dia meminta diri menyambung semula kegiatan di atas.

Beza dengan Adik, Abang akan menyambut aku dan menghulur tangan untuk dicium sebaik aku memasuki pintu rumah dari pejabat. Kalau dia sedang sibuk dengan sesuatu, dia akan datang menghulur tangan sebaik menyelesaikannya. Adik akan menyambut aku lebih kepada permintaan, samada untuk bermain sesuatu atau membelikan dia sesuatu. Namun dia lebih mudah untuk duduk bersama dan melayan aku berbicara ketika aku menanyakan sesuatu. Beza dengan Abang, Adik tidak suka aku menyemak atau membantu kerja sekolahnya. Dia ingin menyelesaikan masalahnya sendiri walaupun tindakan dan jawapannya kadang tidak menepati kehendak.

Baby Faim tidak akan datang kepada aku apabila aku sampai ke rumah. Aku yang akan pergi mencari dia. Selalunya aku akan menjumpai dia berkepit dengan Ibu, di depan TV atau di bilik atas. Dengan Faim, aku yang perlu meminta dicium. Dan semua tergantung kepada kehendaknya. Hanya kalau Ibu tiada di rumah, baru aku boleh mendapat keyakinan menerima ciuman Baby Faim yang akan mencecah usia 5 tahun.

Sangat pantas lima tahun berlalu. Kalau di luar, dunia sepertinya terus bergolak serupa dengan rencam kehidupan yang sama. Namun, bila aku menilai 5 tahun di persekitaran dalam rumah tangga ku, aku dapat saksikan perubahan-perubahan yang nyata. Pemikiran, tingkah-laku dan pendewasaan.

Aku juga ingin melihat diriku.

No comments:

Post a Comment