Abang mengangguk-angguk sambil sesekali bertanya. Dia juga bertanya samada kepimpinan baru Amerika Syarikat dapat mengubah keadaan. Aku hanya menjawab bahawa aku hanya dapat berdoa dan berharap kerana dia mungkin akan mendapati banyak rintangan. Kata aku, sekarang ini sahaja, dia belum dapat menumpukan sepenuhnya kepada isu tersebut atas kemunculan banyak isu domestik yang mendadak.
Abang mengangguk dan berlalu pergi. Jangkaan aku, dia pergi mencari lebih banyak maklumat dari yang aku berikan. Memang aku suka dia begitu. Aku ingin berikan asasnya, dan dia melalui pemikiran yang dia ada patut mengambil lebih banyak ilmu dari bacaan dan pergaulan dan seterusnya membuat penilaian dan merumus pendirian sendiri kepada isu-isu yang menarik perhatiannya. Sudah tentulah, latar belakang dan asal-usul akan memberi sedikit kecondongan kepada pendirian akhir dalam sesuatu isu.
Aku juga suka mengingatkan Abang supaya melihat sesuatu perkara dari pelbagai aspek sebelum membuat keputusan hitam putih terutamanya apabila kita ingin memberi sokongan atau menentang sesuatu perkara. Satu hari tu, Abang beritahu aku bahawa dia sudah menyertai satu persatuan di sekolah yang seolah berbunyi 'Merdekakan Korea Utara'. Aku tanya dia, siapa pula yang dah menjajah Korea Utara. Kata dia ada diktator di sana dan kerajaan mereka jahat dan seksa rakyat mereka hingga kebuluran. Aku katakan kepada Abang bahawa memang rakyat Korea Utara dalam kesusahan dan sukar mendapat bekalan makanan. Pada aku ini lebih kerana negara nya miskin dan sentiasa dilanda musibah serta pengurusan ekonomi yang kurang baik. Aku bertanya samada Abang atau ahli persatuan tersebut pernah melawat Korea Utara? Aku cerita pengalaman singkat aku di sana kepada Abang yang diam mendengar. Aku tanya samada Abang ingin merdekakan Korea Utara seperti mana usaha dibuat untuk merdekakan Iraq. Abang diam mengganguk.
Aku kata kepada Abang bahawa setiap isu seperti ini Abang perlu mengkajinya sendiri tanpa tergopoh-gapah mempercayai apa sahaja yang disampaikan oleh orang lain. Kadang pihak yang bercerita ada kepentingan tersendiri. Aku minta Abang lebih berhati-hati dan jangan keterlaluan dalam memegang sesuatu pendapat.
Dua bulan lepas, aku dapati beberapa poster angkasa lepas dan video game di dinding bilik Abang telah hilang dan digantikan dengan poster-poster kumpulan pop anak gadis dari Asia Timur. Aku merasa Abang sudah mula dilanda dunia remaja. Semalam aku juga merasa dia juga ada melangkah sedikit lebih jauh lagi.
No comments:
Post a Comment