My photo
Stories for my three heroes.

Wednesday, November 09, 2011

IN SICKNESS AND IN HEALTH

Faim tak sehat hari ni. Kata Ibu dia selsema dan sore throat. Aku balik dari pejabat dan dapati dia sudah tidor dengan lenyak. Seketika aku mandi dan solat Isya, aku dengar suara menangis dari bilik air. Rupanya Faim dah bangun dan sedang buang air kecil tapi dia merasa tidak selesa dan sedikit merengek. Aku beritau Ibu dan Ibu dengan segera membawa ubat kepada Faim dan menemankan Faim tidur semula.

Faim sudah mencapai usia 7 tahun bulan lepas. Dia semakin bijak dan semakin galak mengusik Abang Naim. Tapi bila dia tidak sehat, Faim kelihatan seperti anak kecil yang aku kenali beberapa tahun dahulu. Yang perlu dimanjakan dan diberi sepenuh perhatian. Dalam hal ini, aku bersyukur kerana walaupun aku kurang dapat lebihkan masa untuk bersama Faim atas desakan komitmen tertentu masa kini, tapi Ibu tetap ada untuk terus memainkan peranan seperti biasa. Walaupun aku tau, masa untuk Ibu juga turut terhad kerana Ibu juga sudah mula berkerja.

Kini aku sangat menghargai hujung minggu. Waktu itu aku dapat tumpukan lebih sedikit masa untuk Faim dan abang-abangnya. Faim suka dibawa ke taman di waktu pagi untuk menemani aku beriadah sedikit. Dia lebih suka kalau aku dapat membawa dia melalui tingkap  'drive thru' Mcdonalds walau apa ketika pon.

Satu kegemaran Faim sekarang ialah dia suka mengumpul duit. Memang satu tabiat yang baik tapi cara dia mengumpul ini sangat membawa kemusykilan kepada aku dan Ibu. Pertama, duit syiling aku dan Ibu dalam kereta selalu kekurangan. Kedua, duit raya atau elaun Naim yang selalu ditinggal merata-rata juga selalu lesap tanpa dapat dikesan langsung. Dan, ketiga, beg duit Faim sentiasa gemuk dan terus berkembang walaupun aku tidak pernah memberi dia apa-apa elaun atau duit belanja. Semalam aku panggil Faim dan beritau dia bahawa adalah salah untuk menyimpan sesuatu barang berharga yang kita temui tanpa terlebih dahulu memeriksa dengan orang lain yang mungkin kehilangan barangan tersebut. Faim faham dan mengganguk-angguk tapi di akhir dialog dia tetap berkata  ' but I found it and no one owns it '. Rasanya kesedaran yang cuba aku tanamkan mungkin perlu lebih masa untuk bercambah.

Aku masuk melihat Faim bila Ibu selesai memberi ubat. Aku lihat dia cuba untuk tidur dengan sedikit kesulitan kerana selsemanya. Aku duduk sekejap dan termenung mengenang semasa dia masih lagi kecil dari sekarang.