My photo
Stories for my three heroes.

Saturday, March 25, 2006

Satu Cerita dengan Anak terhenti.

Kawan aku kehilangan seorang anaknya yang masih kecil. Anaknya menderita leukimia selama hayat kecilnya yang hanya 3 tahun. Anak yang kecil itu belum sempat belajar berlari, bertutur dengan sebetulnya, dan belum sempat berbuat apa yang anak-anak seusianya dapat berbuat. Selama hampir setahun, aku melihat usaha Ayahnya untuk memastikan supaya anaknya dapat terus membesar. Supaya Cerita dengan Anaknya tidak terhenti. Dan kadang aku terdengar bagaimana terganggunya kehidupan dia yang lain semata-mata kerana penumpuannya kepada usahanya itu. Namun, akhirnya dia tidak berhasil. Kerana Yang Maha Kuasa lebih menghendakinya begitu.

Di sebalik semua itu, aku tidak melihat penderitaan. Aku tidak melihat kesedihan. Aku hanya mahu melihat kegigihan. Aku hanya mahu melihat pengorbanan. Dan, aku hanya melihat kasih-sayang. Aku juga insaf. Aku berdoa alangkah indahnya sekiranya anak-anak kecil tidak harus disemadikan oleh Ayahnya. Sebaliknya, anak-anaklah yang patut menyemadikan mereka yang lebih tua. Supaya Cerita yang dijalin dapat disambung panjang-panjang dengan pengajaran-pengajarannya. Namun demikian kita hanyalah boleh berharap dan berdoa. Dialah yang menentukan segalanya.

Dan, tat-kala Ayah itu menidurkan anaknya buat kali terakhir, aku melihat seolah dia menutup cerita dengan anaknya. Cerita yang singkat namun tetap penuh dengan pengajaran tentang kasih-sayang; kepada semua.

Friday, March 17, 2006

Abang telefon masa aku tengah minum teh tarik kat Warisan petang semalam.
'Ayah have you left the office?', tanya dia.

'Yes, you want me to help you with homework tonight', aku bertanya kepada Abang.

'No, but can you stop at Speedy and get a cassette for me?. Master of Puppets, do you know?', tanya Abang lagi. Dah tentu aku tau. Itu lagu signature Metallica, kumpulan heavy metal yang aku dengar dua dekad yang lalu. 'Ok', jawab aku ringkas.

Kat rumah sebelum aku serahkan album Master of Puppets kepada Abang, aku bagi lecture dulu.

'You are going to listen to a heavy metal music. These people are know for being rude, rough and nasty. They do drugs and drinks alcohol. They keep long hairs. But, they are also musical genious. I warn you not to follow their bad behaviour. Maybe the long hair a little bit is ok. But, listen, the lyrics of their songs sometimes contain bad words so I don't want to hear you using them, ok?', aku ceramah kat Abang. Aku perasan Nenek macam terjegil mata kejap bila aku sebut pasal rambut panjang tu.

'Ok, Ayah...' Abang tak banyak soal.

'And, ...I bought you a CD too cause this one has ... Justice for All and One, which are better than Master of Puppets' , kata aku sebelum naik untuk mandi.

Aku jeling ke Ibu. Mata Ibu menjeling ke siling.

Thursday, March 16, 2006

Nenek beritahu aku, ' Baby Faim sudah pandai'.

Aku senyum dan tanya balik, ' Pandai apa Nek?'

'Pagi lepas Ayah dah pergi kerja, Ibu hantar Abang dan Adik ke sekolah, Baby Faim pergi tengok family photo atas meja dan nangis', cerita Nenek.

'Waaa..', perasaan aku bercampur-campur.

Itu Nenek cerita Malam tadi.

Pagi ni aku biar Ibu keluar dulu ke sekolah menghantar Abang dan Adik. Kemudian aku ambik family photo dan bagi ke Faim nak tengok reaksi dia. Baby Faim minta aku dokong dan tak mau lepas walaupun aku dah nak kena pi kerja. Tapi dia tak nangis.

Nenek gelak dan kata, ' Ayah ada dia tak mau nangis'.

Kemudian Nenek ajak Baby Faim naik kereta Nenek dan turun bawah pergi pasar.

Baby Faim memang dah pandai.

Monday, March 13, 2006

Suara jerit-jeritan timbul tenggelam. Sekejap lantang, sekejap lagi senyap aja. Sesekali aku pon menjerit sama. Selalunya sebab kekecewaan. Melihat aku bersorak, Abang dan Adik memberi lebih perhatian. Dan mereka pon menjerit sama. Hampir semua mereka yang menjerit berpakaian jingga kepada yang berbaju hijau.

Waktu rehat Adik jadik segar.
'Ayah, I want the KFC', rayu Adik yang aku tengok tadi kenkadang lebih sibuk bermain dengan mainan di tangan. Aku bersetuju setelah Abang pon bersetuju.

Lepas rehat kami sambung balik jerit menjerit dan sorak menyorak. Tapi kali ni kami lebih banyak ketawa. Adik pula dah tak banyak bersuara. Dia dah lembik sebelah Aku. Ngantuk le tu.

Selesai je dalam nak jalan balik ke kereta Abang kata ke aku, ' Ayah, maybe we should go to these kind of things more often'.
'Waa... you enjoyed the game that much?', tanya aku heran dan sedikit bangga.
'No.. It's just fun laughing at them', jawab Abang selamba.
Hmm nyampah. Aku terus pikul Adik, masuk kereta dan jalan. Aku tak pandang pon baju oren yang depa jual RM28 tu.

Johor FC 0 Kuala Lumpur 1

Thursday, March 09, 2006

Aku hanya menulis untuk anak-anak aku. Aku harap bila mereka sudah
dewasa dan dapat membaca, mereka dapat menghayati semula
pengalaman mereka semasa membesar. Dan dari itu,
akan sentiasa ingat sejarah dan asal usul mereka. Aku minat sejarah dan
aku sangat hormati sejarah.
Aku inginkan mereka juga demikian.

~ Wednesday, March 09, 2005
SETAHUN BERLALU

DUA TAHUN
Dua tahun ialah satu masa yang panjang. Itu jika dihitung mengikut hari. Dan lebih panjang rasanya jika dihitung mengikut kiraan jam dan saat. Dalam masa dua tahun juga seorang bayi sudah boleh berjalan, bertutur dan bersikap. Aku tak menyangka bahawa sanya sudah dua tahun jua aku menulis tentang anak-anak aku, pahlawan-pahlawan aku.

Dalam dua tahun itu, aku juga menulis dan memerhati mereka yang akhirnya aku menilai kembali kepada diri aku sendiri. Aku yakin kalau tujuan sebenar aku ialah supaya mereka dapat membaca dan mengetahui tentang bagaimana aku melihat mereka semasa membesar, mereka juga akan membuat penilaian tentang diri aku sebagai Ayah. Dan semoga aku tidak begitu gagal. Aku melihat anak-anak aku sebagai manusia kecil yang aku perlu didik dan juga sebagai seorang individu sendiri yang membesar, dan belajar bersikap dan berkelakuan yang tidak sama di antara satu sama lain. Bahawa, walaupun mereka datangnya dari sumber yang sama dan hidup dalam persekitaran yang sama, mereka akan tetap menjadi individu mereka sendiri dengan kesukaan dan kegemaran dan kelakuan yang tersendiri.

Dan aku sentiasa dapat melihat sedikit percikan dari diri aku dalam apa yang mereka tunjukkan. Yang baik dan yang kurang baik. Dan adalah menjadi tanggungjawab aku memastikan lebih banyak yang baik terpercik dari yang kurang walau aku tidak boleh melenyapkan semua.

Orang bijak pandai meNgatakan bahawa sejarah ditulis oleh orang lelaki, oleh orang yang menang peperangan. Dan sejarah begini dikata condong dan tidak netral. Dalam dua tahun aku cuba mencatit sejarah. Sejarah peribadi aku dan anak-anak. Namun dalam aku melihat mereka membesar sehari-hari, aku juga melihat percikan yang aku kenali tetapi bukan dari aku. Sikap penyayang, lemah-lembut dan penuh kesabaran datang dari sumber api yang bukan dari aku. Dari seorang teman yang aku kenali lebih lama. Maka aku menulis sedikit tentang Ibu dengan anak-anaknya. Supaya sejarah yang akan dibaca oleh mereka tidak condong tetapi adil kepada kami yang sama-sama berhak.

Aku juga bersyukur bahawa sanya dalam tempoh dua tahun ini juga aku dapat berinteraksi dengan lebih ramai rakan-rakan maya. Di dalam negeri dan juga dari luar. Mereka memberi kata-kata sokongan, perangsang dan galakan. Ada juga yang memberi teguran. Aku terima semuanya. Aku ambil semuanya. Dan aku ucapkan terima kasih semuanya dari kami semua. Kerana aku hanya mahu menulis. Aku masih ingin menulis. Aku belum puas menulis.

Dua tahun lagi? Entah! Aku tak tahu di mana aku akan berada atau samada masa depan aku akan tetap memberi aku peluang untuk terus begini. Namun aku akan cuba untuk terus mencatat. Mencatat sejarah aku dan anak-anak. Sejarah dan Cerita dengan Anak-anak.