Aku hanya menulis untuk anak-anak aku. Aku harap bila mereka sudah
dewasa dan dapat membaca, mereka dapat menghayati semula
pengalaman mereka semasa membesar. Dan dari itu,
akan sentiasa ingat sejarah dan asal usul mereka. Aku minat sejarah dan
aku sangat hormati sejarah.
Aku inginkan mereka juga demikian.
~ Wednesday, March 09, 2005
SETAHUN BERLALU
DUA TAHUN
Dua tahun ialah satu masa yang panjang. Itu jika dihitung mengikut hari. Dan lebih panjang rasanya jika dihitung mengikut kiraan jam dan saat. Dalam masa dua tahun juga seorang bayi sudah boleh berjalan, bertutur dan bersikap. Aku tak menyangka bahawa sanya sudah dua tahun jua aku menulis tentang anak-anak aku, pahlawan-pahlawan aku.
Dalam dua tahun itu, aku juga menulis dan memerhati mereka yang akhirnya aku menilai kembali kepada diri aku sendiri. Aku yakin kalau tujuan sebenar aku ialah supaya mereka dapat membaca dan mengetahui tentang bagaimana aku melihat mereka semasa membesar, mereka juga akan membuat penilaian tentang diri aku sebagai Ayah. Dan semoga aku tidak begitu gagal. Aku melihat anak-anak aku sebagai manusia kecil yang aku perlu didik dan juga sebagai seorang individu sendiri yang membesar, dan belajar bersikap dan berkelakuan yang tidak sama di antara satu sama lain. Bahawa, walaupun mereka datangnya dari sumber yang sama dan hidup dalam persekitaran yang sama, mereka akan tetap menjadi individu mereka sendiri dengan kesukaan dan kegemaran dan kelakuan yang tersendiri.
Dan aku sentiasa dapat melihat sedikit percikan dari diri aku dalam apa yang mereka tunjukkan. Yang baik dan yang kurang baik. Dan adalah menjadi tanggungjawab aku memastikan lebih banyak yang baik terpercik dari yang kurang walau aku tidak boleh melenyapkan semua.
Orang bijak pandai meNgatakan bahawa sejarah ditulis oleh orang lelaki, oleh orang yang menang peperangan. Dan sejarah begini dikata condong dan tidak netral. Dalam dua tahun aku cuba mencatit sejarah. Sejarah peribadi aku dan anak-anak. Namun dalam aku melihat mereka membesar sehari-hari, aku juga melihat percikan yang aku kenali tetapi bukan dari aku. Sikap penyayang, lemah-lembut dan penuh kesabaran datang dari sumber api yang bukan dari aku. Dari seorang teman yang aku kenali lebih lama. Maka aku menulis sedikit tentang Ibu dengan anak-anaknya. Supaya sejarah yang akan dibaca oleh mereka tidak condong tetapi adil kepada kami yang sama-sama berhak.
Aku juga bersyukur bahawa sanya dalam tempoh dua tahun ini juga aku dapat berinteraksi dengan lebih ramai rakan-rakan maya. Di dalam negeri dan juga dari luar. Mereka memberi kata-kata sokongan, perangsang dan galakan. Ada juga yang memberi teguran. Aku terima semuanya. Aku ambil semuanya. Dan aku ucapkan terima kasih semuanya dari kami semua. Kerana aku hanya mahu menulis. Aku masih ingin menulis. Aku belum puas menulis.
Dua tahun lagi? Entah! Aku tak tahu di mana aku akan berada atau samada masa depan aku akan tetap memberi aku peluang untuk terus begini. Namun aku akan cuba untuk terus mencatat. Mencatat sejarah aku dan anak-anak. Sejarah dan Cerita dengan Anak-anak.