My photo
Stories for my three heroes.

Sunday, October 14, 2007

LONG DISTANCE LEBARAN

Aku diberitahu bahawa ia adalah masjid terbesar di daerah di sini. Tapi aku dinasihatkan untuk membawa sejadah sendiri kerana kemungkinan yang boleh berlaku. Aku dengan Adik tiba sejurus sebelum solat bermula. Kereta-kereta pengunjung lain sudah bersusun di tepi jalan, di luar kawasan masjid. Sesampai di masjid, aku nampak ramai manusia sudah membentang sejadah di luar perkarangan.

'Oh oh, this is not good', aku kata kepada Adik. Adik hanya mengganguk. Walaupun cuaca sedikit dingin, Adik tidak mahu berpakaian tebal sebaliknya hanya berbaju Melayu. Kalau terpaksa bersolat di luar, aku rasa Adik akan mengigil kesejukan. Kami berpusing ke belakang masjid dan mendapati kemah yang dipasang juga penuh dengan manusia. Ruang badmintonnya juga telah penuh diisi oleh kaum muslimah.

Di pintu masuk belakang, aku ternampak ada ruang bersebelahan dengan tempat letak sepatu. Aku membentang sejadah untuk aku dan untuk Adik. Bersebelahan dengan sepatu-sepatu orang. Tertunai juga hajat aku pagi ini. Pulang ke rumah, aku terus meminta makanan yang Ibu siapkan. Tapi Ibu mengingatkan aku akan tradisi biasa. Lalu kami semua bersalam-salaman dahulu. Adik kelihatan gembira sekali.

Waktu petang, kami mula merasa berbeza. Aku pasang Skype dan bercakap dengan Abang. Ibu, Adik dan Baby Faim pon ikut bercakap sekali. Abang kelihatan muram sedikit. Adik muram banyak. Abang beritahu bahawa segalanya dah disiap dan dia akan bertolak dalam masa sekejap lagi. Aku dan Ibu tidak berhenti menasihatkan dia supaya menjaga diri, tingkah laku dan keselamatan. Aku ingatkan bahawa dua minggu adalah tempoh yang lama dan dia perlu gunakan peluang ini sebaik-baiknya untuk menimba pengalaman dan pengetahuan, bukan sekadar bersuka-suka sahaja. Dia nampak faham. Akhir sekali kami doakan keselamatan dia.

Malam tadi semasa menonton TV, aku rasa suasana ruang tamu sepi dan muram. Aku pon terdiam sama. Tiba-tiba Adik mula tersedu-sedu dan berbaring ke aku menyebut nama Abang dan beberapa perkataan lain yang aku tak berapa faham. Tapi dengan melihat wajah dia aja aku dapat mengerti. Aku usap kepala dia hingga tertidur.

UPDATE : 15 OCTOBER 2007 - MONDAY

Ibu cuba menelepon Abang di Hotel di Florida. Amazingly, Ibu dapat dihubungkan dengan bilik Abang dengan mudahnya. Puas Ibu bercakap, baru Ibu berikan gagang telefon kepada aku. Aku bertanya perkara-perkara biasa seperti kesehatan, jet lag, teman sebilik, program selanjutnya dan berbagai lain. Abang kedengaran seperti biasa dan seperti kepenatan. Dia beritahu bahawa pihak kastam Amerika Syarikat mengeledah beg dia dan tetapi tidak mengeledah kawan-kawan yang lain. Aku selamba sahaja menjawab, 'Well, maybe they think you are a terrorist'. Abang hanya terdiam. Aku rasa sedikit sebanyak dia mula merasa realiti kehidupan yang sebenarnya. Aku janji tidak akan terlalu menghubungi Abang tetapi meminta dia menumpukan kepada aspek pembelajaran lawatan dia. Apatah lagi dengan euphoria Angkasawan Pertama Malaysia masih hangat di serata dunia.

www.kisahdengananak.blogspot.com/2007_05_15_archives.html

No comments:

Post a Comment