My photo
Stories for my three heroes.

Friday, May 16, 2008

TASEK UTARA

Semenjak aku lulus SPM, aku jarang mengunjung sekolah lama ku. Kerana lepas sekolah, aku sudah tidak tinggal tetap di JB. Tapi, tak ramai yang akan ragui bahawa alam persekolahan penuh dengan saat-saat yang indah. Juga ada saat yang jelek. Tapi bagaimana pun pengalaman nya, kita tidak akan lari dari sentiasa mengingat kenangan persekolahan masing-masing. Dalam bermenung pasal sekolah, aku selalu teringat akan cikgu-cikgu yang aku rasa memberi kesan kepada diri dan sentiasa membuat aku tersenyum dan mengucap terima kasih di dalam hati kepada budi mereka. Aku tak tau di mana mereka sekarang. Aku harap aku dapat mengucap terima kasih ke wajah mereka.

Kalau sekolah rendah, aku masih ingat dengan Puan Hasnah. Cikgu Ilmu Hisab Darjah 5. Cikgu Hasnah juga guru kelas aku. Lima Biru. Sebagai persiapan peperiksaan penilaian, dia akan beri 100 soalan Ilmu Hisab sebagai kerja rumah sebagai tambahan kepada kerja sekolah yang dah dibuat di sekolah. Dan aku akan teresak-esak sendirian menghabiskannya di rumah kerana aku takut tak dapat menunaikan tanggung jawab aku menyelesaikan semuanya. Hingga aku dah tua ni, kalau ada sesuatu yang menganggu aku dari dapat menyempurnakan sesuatu, aku akan mula terganggu emosi gaya seorang pelajar berusia 11 tahun.

Aku teringat Mr Goh masa aku di Tingkatan 2 Zuhrah. Mr Goh Guru Sejarah. Aku tak tau kenapa tapi pada aku Mr Goh seorang yang patriotik pada aku. Mungkin sebab ilmu yang diajarnya itu melibat aspek kemanusiaan dan kenegaraan. Dia mau semua anak murid mengingat segala fakta sejarah yang ditulis di papan hitam. Selepas beberapa hari menghamburkan fakta, pada hari-hari tertentu, dia akan mengarah Ketua Darjah meminjam rotan dari Guru Besar. Kemudian dia akan buat 'announcement', - ' hari ini, rotan!' dalam pelat cinanya. Sesiapa merasa tidak tahu jawapan kepada soalan beliau, boleh terus keluar untuk menerima sekali rotan dari beliau. Sesiapa yang merasa tahu tetapi memberi jawapan salah pula akan menerima dua kali rotan. Tapi aku bukan hanya menghafal sejarah dalam kelas Mr. Goh. Aku diperkenal kepada sosok-sosok manusia yang banyak menyumbang kepada tamadun manusia. Aku kenal Jose Rizal, Gandhi, Lincoln. Aku kenal HM Stanley, Marie Currie dan Albert Schweitzer. Aku juga diperkenal kepada Ahmad Boestamam, Ibrahim Yaacob dan Syed Sheikh Alhadi dan rakan-rakan dari Kaum Mudanya.

Aku teringat juga kepada Mendiang Dr Matley. Professor Geografi bagi subjek kajian Eropah Timur dan Soviet Union. Apa yang terkesan dalam hati ku selain cerita tentang bentuk muka bumi fizikal benua Eropah sebelah sana, ialah cerita-cerita peperangan Dunia Kedua yang dialaminya semasa berjuang sebagai anggota artillery tentera British. Aku seronok mendengar cerita-cerita beliau dan turut bersedih bila dia menceritakan tentang rakan-rakan yang tidak pulang bersama beliau dari medan juang di Eropah. Aku memahami pergorbanan diri kepada kepada sesuatu manafaat yang lebih besar dari diri sendiri.

Itu antara yang aku ingat. Banyak lagi. Cikgu Besar Karim bin Man, Cikgu Sarijan Sarjono(guru BM), Puan Lek(Cikgu Fizik), Pn Fazillah(Bio) dan Mr. Lai yang mengajar Kimia dan Matematik Modern dan Tambahan. Cikgu Tan, guru darjah Satu Kuning. Aku juga ingat kepada Cikgu Teo, Penolong Kanan yang hampir dipukul oleh pelajar-pelajar Cina ketika cuba meleraikan pergaduhan besar-besaran di sekolah antara kumpulan pelajar Melayu dan Cina. Siapa pula yang sanggup melupakan Puan Khatijah yang suka mengancam murid-murid (ancaman dia : 'aku pulas sampai tinggal sarang'). Aku selalu lari dari Puan Khatijah.

Tapi ada jugak yang aku ingat atas sebab-sebab yang tidak begitu luhur. Cik Naemas, guru Pendidikan Jasmani bagi murid-murid perempuan. Murid-murid lelaki suka ponteng dari main bola sebab itu.

Dan siapa tak ingat Mary Ellis di KPP.

'But, Ayah.. tell me about the little green man at your school..', Adik merengek.
'What geen man?', tanya aku balik kepada Adik.
'The green man your friend found in the Chinese cemetery near your school', Adik mengingatkan aku.
'Oh that one, some other time, some other time....', jawab aku segera meniru gaya Telly dari Sesame Street.
Adik berpusing dan menarik selimut.

No comments:

Post a Comment