My photo
Stories for my three heroes.

Monday, November 08, 2004

Sabtu lepas aku pasang pelita kat Pagar rumah. Actually bukan aku tapi Adik dan Abang yang letak. Aku cuma isikan minyak tanah yang aku beli kat kedai cina kat bawah. (Aku dapat diskaun 20 sen sebab aku pakai seluar pendek cabuk dan tshirt putih pagoda style). Malam aku pasang pelita-pelita dan edarkan bunga api kepada dua-dua anak aku. Seronok mereka bermain dan berlari. Aku cuma perhati aja. Ibu kat dalam dengan Faim.

Sambil bermain aku cerita dengan Zaim dan Adik tentang puasa kat kampung aku di Tampoi, Johor Baru.

Aku imbas kembali. 25 tahun dulu.

Mula tu lepas buka tunggu sekejap, tunggu signal. Dekat setengah jam lepas buka, dentuman meriam buluh ( actually besi ) dekat rumah Pak Mail mula berbunyi. Kami semua pergi ke sana. Masa tu rasa seronok dapat mendengar bunyi letupan yang memekak telinga dan menghidu bau kabaid. Sekarang aku tak tau. Kemudian kami semua berlari ke Masjid untuk mula semayang Isya dan Tarawikh. Sambil tu sempat petik mini petai kat tepi masjid. Tapi sebenarnya masa semayang tu kami tak khusyuk langsung. Sebab diluar atas bukit kedengaran bunyi mercun roket nyaring diakhiri dengan ledakan-ledakan lunak ... thom!!! Kalau mercun tu tersasar terlalu dekat ke masjid, semua mata anak-anak yang semayang akan beralih ke tingkap. Adakalanya dia meletup dekat sangat dengan masjid, aku tengok sorang pakcik tua macam tergoyang-goyang, terkejut agaknya.

Sehabis semayang, kami cepat-cepat beredar nak menyertai geng yang sedang bermain mercun. Selalunya mereka ada dua team berperang dari satu hujung bukit ke satu lagi. Melihat kami berlari-lari ke atas bukit kami pula menjadi sasaran. Ini menjadi cabaran untuk kami dan siapa yang dapat sampai dahulu ke atas akan disambut semacam pahlawan.

Dan kami bermain sampai lewat malam baru balik ke rumah untuk tidor. Dah tentu kena leter dulu dengan Mak. Dah tentu esok terhegeh-hegeh nak bangun sahur. Dan dah tentu kami akan tidor kat belakang kelas sebelum kelas bermula sebab kami mengantuk. Tapi seronoknya.

Aku tersintak sebab tetiba suasana senyap. Aku bercerita sendirian dalam kepala rupanya. Zaim dan Naim dah lama masuk ke dalam. Aku tengok Zaim tengah menghadap buku sementara Adik tengah menyusun mainan Faim. Aku kutip kertas bungkusan dan batang-batang besi bunga api menuju kerumah. Sebelum masuk, aku toleh balik ke arah api pelita yang meliuk-liuk menari. Macam terdengar pulak suara Shukur, Sahaq, Ahmad, Is, Jenggo, Udin dan lain-lain yang aku dah tak ingat.

Aku berkelip mata dan masuk.

No comments:

Post a Comment